Beri Perlindungan Kepada Orang Utan
Let's Conserve "We do no inherit the Earth from our parents. We borrow it from our children."
Friday, March 20, 2009
oleh Gowri Sritharan
Sedih dan pilu setiap kali terbaca atau terlihat di media cetak mahupun media elektronik hal yang berkaitan tentang kepupusan Orang Utan. Malah kadangkala timbul persoalan, mengapakah haiwan yang tidak bersalah itu dihukum sebegitu?
Pada zaman ini, kehidupan orang utan terjejas akibat daripada perbuatan manusia yang semakin hari semakin ghairah mengejar pembangunan. Keghairahan itu telah menyebabkan manusia selewang-lewangnya menebang hutan belantara sehingga memusnahkan tempat perlindungan haiwan tersebut.
Sedih rasanya apabila memikirkan manusia daripada seluruh pelosok dunia datang ke negara ini untuk memberikan pembelaan kepada haiwan tersebut, namun kita rakyat Malaysia masih lagi tidak menghiraukan spesies yang semakin pupus itu. Kita masih lagi berfikiran kolot dan beranggapan bahawa haiwan tersebut tidak perlu dipelihara.
Apa yang lebih mengejutkan adalah hasil penyelidikan Dana Hidupan Liar Dunia (WWF) Malaysia baru-baru ini. Kajian tersebut melaporkan bahawa jumlah Orang Utan di Sabah dan Sarawak sekarang hanya tinggal separuh dari jumlah yang ditemui kira-kira 30 tahun lalu.
Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam dan Sumber Semuajadi (IIUCN) juga telah menyenaraikan Pongo pygmaeus dari spesies Sumatera dan Borneo sebagai spesies yang paling terancam. Apa lagi yang bakal tinggal untuk disaksikan oleh anak cucu kita pada masa akan datang?
Disebabkan keghairahan dan kekejaman manusia, habis semua keajaiban dunia musnah. Apa yang tinggal hanya kesan-kesan kemusnahan yang dapat dilihat. Dalam mengejar pembangunan yang tanpa batasan, tidak dapat dinafikan bahawa masih lagi terdapat segelintir pihak yang bertanggungjawab dalam memelihara haiwan mamalia ini.
Contohnya di Sabah, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan haiwan yang semakin pupus spesisnya terus dipelihara dan diberi pembelaan. Inisiatif yang diambil oleh Jabatan Hidupan Liar negeri Sabah dengan menubuhkan Pusat Pemuliharaan Sepilok amat membanggakan. Pusat ini merupakan pusat pertama dan terbesar di dunia dengan objektif untuk memulih dan menyelamatkan Orang Utan. Lokasi ini terletak di pinggir hutan simpan Kabili-Sepilok dan kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan dan buah-buahan yang merupakan sumber makanan orang utan. Usaha murni ini diharapkan dapat dilaksanakan secara berterusan supaya ianya dapat memastikan spesies ini dapat dipelihara dari terus diancam.
Pada masa yang sama saya juga berharap pelbagai kajian dan penyelidikan akan terus dijalankan bagi membiak baka Orang Utan di Malaysia. Jika kita masih mahu melihat orang utan di tanah air sendiri, maka kita perlulah mengubah sikap dan mentaliti cetek yang langsung tidak mengambil peduli tentang Orang Utan.
Seri Saujana.
0 Komen:
Catat Ulasan