Terjemah Blog Ini / Translate This Blog

 
Seri Saujana

Jumaat, 14 Ogos 2009

Orang Utan semakin terancam


*Krew Seri Saujana telah mengumpulkan pelbagai maklumat tentang orang utan yang dikemaskini di internet. Oleh itu, kami akan mendokumentasikannya bertujuan memberi kesedaran tentang kemandirian orang utan di muka bumi ini kepada para pembaca blog yang melayari laman blog ini.*


Berita Harian, 28 Ogos 2003
Oleh Thaddius Unnip

Sandakan sentiasa menjadi tarikan pelancong luar negara.PEMBUNUHAN kejam tiga Orang Utan di Taman Rimba Shangri-la Rasa Ria Resort (Rasa Ria), Tuaran, baru-baru ini mencetuskan kemarahan orang ramai serta kebimbangan mengenai ancaman kepupusan terhadap haiwan itu.Malahan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta alam khuatir insiden itu menjadi petanda negatif terhadap masa depan Orang Utan di Kepulauan Borneo, khususnya di Sabah.

Sedang usaha memulihara primat itu giat dijalankan di Pusat Perlindungan Orang Utan di Sepilok, Sandakan, ada pula pihak tidak berperikemanusiaan tergamak melakukan pembunuhan kejam terhadap Orang Utan. Haiwan itu memang sudah sinonim bagi sektor pelancongan Sabah, malahan menjadi maskot beberapa prodok dan acara berkaitan pelancongan.

Pada kejadian 18 Ogos lalu di Taman Rimba Rasa Ria, pekerjanya terkejut apabila menemui tiga Orang Utan yang menjadi daya tarikan pelancong di situ, mati dipercayai ditikam dengan benda tajam. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, tiga Orang Utan itu ditemui mati tidak jauh dari pusat berkenaan oleh pekerja resort yang mencarinya setelah mengesyaki sesuatu berlaku apabila ketiga-tiganya tidak muncul ketika diberi makan pada waktu pagi.

Sumber itu berkata terdapat beberapa kesan tikaman benda tajam pada badan haiwan itu dan ia dipercayai menjadi punca kematiannya. Dua lagi Orang Utan yang ada di situ turut mengalami kecederaan akibat tikaman.Berikutan kematian yang mencurigakan itu, ketiga-tiga Orang Utan itu dihantar ke Pusat Perlindungan Orang Utan di Sepilok, untuk dibedah siasat.

Sebelum ini, terdapat enam Orang Utan dipelihara di Taman Rimba semulajadi seluas kira-kira 25 hektar itu dan menjadi antara tarikan pelancong. Kejadian itu menunjukkan tahap kesedaran orang ramai mengenai penjagaan haiwan berkenaan masih rendah walaupun pihak berkuasa menetapkan penganiayaan terhadap Orang Utan adalah salah kerana ia dilindungi mengikut Enakmen Perlindungan Jabatan Hidupan Liar Sabah 1997.

Bagaimanapun, usaha menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan memelihara Orang Utan tetap ditingkatkan termasuk mengadakan bengkel membincangkan kedudukan Orang Utan di Sabah. Ketika ini, usaha mencari pembunuh Orang Utan di Taman Rimba itu terus diperhebatkan termasuk tawaran ganjaran wang tunai sebanyak RM50,000 oleh Rasa Ria serta tambahan RM10,000 lagi oleh Royal London Circus.

Selain kekejaman terhadap haiwan berkenaan, masalah lain, khususnya kehilangan habitat akibat penerokaan hutan semulajadi dan pemburuan haram juga dikenal pasti antara ancaman menyebabkan kepupusan Orang Utan di Sabah. Semua masalah itu timbul ekoran tindakan manusia yang kurang menyedari kesan perbuatan mereka terhadap kesinambungan hidup haiwan berkenaan yang dikenal pasti berjumlah antara 25,000 hingga 30,000 di Borneo dan 6,000 di Sumatera, satu-satunya kawasan ia boleh ditemui di dunia.

Di Sabah, dilaporkan jumlah haiwan berkenaan hanya tinggal antara 10,000 hingga 15,000 dan kebanyakanya ditemui di kawasan pantai timur dan sebahagian kecil juga ada ditemui di Taman Kinabalu dan Banjaran Crocker.Bagaimanapun, kehidupan haiwan itu yang dijadikan maskot pelancongan bagi negeri Sabah terancam kerana sebahagian besar kawasan berkenaan diteroka untuk perladangan atau disimpan untuk kegiatan pembalakan.

Dianggarkan kira-kira 70 peratus populasi Orang Utan di Sabah pada masa ini menghuni kawasan Hutan Simpan Komersial yang dieksploitasi untuk tujuan pembalakan. Malah, berdasarkan kajian yang dijalankan Projek Pemeliharaan Orang Utan Kinabatangan (KOCP) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), didapati lebih 6,000 Orang Utan dikenal pasti mendiami kawasan hutan simpan milik Yayasan Sabah.

Kesannya, Orang Utan semakin kehilangan habitat kerana haiwan berkenaan sangat sensitif terhadap gangguan habitat yang berpunca daripada kegiatan manusia. Sehubungan itu, pihak berkuasa menetapkan perlindungan dan pengekalan kawasan semulajadi tanah rendah yang menjadi habitat utamanya ditingkatkan untuk kesinambungan hidup spesies primat berkenaan dalam jangka masa panjang.

Langkah itu perlu kerana haiwan berkenaan tidak boleh tinggal di kawasan ladang dan dalam masa sama hanya sedikit saja yang mampu mengekalkan habitat di kawasan tanah tinggi.Dalam usaha mengukuhkan usaha pemeliharaan Orang Utan di negeri ini, tiga kawasan perlindungan dikenal pasti di pantai timur Sabah iaitu Tabin, Kulamba dan Pusat Perlindungan Hidupan Liar Kinabatangan yang dianggarkan mempunyai kira-kira 3,000 Orang Utan.

Kewujudan Orang Utan di negeri ini juga dikenal pasti banyak menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan melalui eksploitasi aktiviti penyelidikan membabitkan haiwan berkenaan.Ini berikutan kecenderungan pelancong di seluruh dunia yang semakin tertarik kepada `destinasi semulajadi' untuk melihat secara dekat spesies haiwan seperti Orang Utan di habitat asalnya.

Umpamanya, pada masa ini, Pusat Perlindungan Orang Utan di Sepilok, Sandakan adalah antara destinasi semulajadi yang menjadi tumpuan pelancong bagi mengenali secara dekat Orang Utan, khususnya yang terdapat di Sabah.Malah, kajian SWD dan Agensi Pembangunan Antarabangsa Denmark (DANIDA), mendapati sektor pelancongan dijangka dapat mengambil alih sektor perhutanan dari segi sumbangan ekonomi terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah.Sehubungan itu, pembabitan semua pihak bagi melindungi Orang Utan di negeri ini amat penting, bukan setakat mengelak ia pupus, malah untuk menjadikannya aset pelancongan yang amat berharga.


Seri Saujana.

0 Komen:

glitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphics
glitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphicsglitter graphics
Photobucket

Kembali ke ATAS